Print

Sejarah

alquran001

Pengenalan

Usaha kerajaan Malaysia memartabatkan al-Quran melalui penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran memberi nilai yang besar dalam perkembangan syiar Islam. Setelah separuh abad ia dilaksanakan, nilai tersebut dapat dirasai apabila banyak program pembelajaran al-Quran dan cabang-cabangnya berkembang luas mengisi penghayatan islam di negara ini.

Manfaat bukan sahaja dapat dinikmati oleh penduduk setempat, malah melimpah juga ke atas umat Islam di seluruh dunia. Majlis ini telah menjadi contoh dan rujukan kepada Negara-negara lain untuk mereka melaksanakan program seumpamanya. Hasilnya sudah tentu semarak syiar Islam akan menyinar lebih luas ke seluruh alam.

Penamaan Majlis

Majlis tilawah al-quran adalah salah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia untuk meninggikan syiar Islam. Majlis ini pertama kalinya dinamakan sebagai "Pertandingan Membaca al-Quran", kemudian dikenali sebagai "Musabaqah Membaca al-Quran", selepas itu 'Ujian Tilawah al-Quran". Walaubagaimanapun, sekiranya Majlis ini diadakan di negeri Johor ia disebut sebagai "Majlis Perujian Membaca al-Quran" atas titah Ke Bawah DUli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.

Objektif

no1

Meninggikan Syiar Islam dan mendaulatkan al-Quran.

no1

Mewujudkan silaturrahim sesama umat Islam dan hubungan baik antara negara-negara Islam di dunia.

no1

Memuliakan bulan Ramadhan, bulan nuzul al-Qur’an, Kitab Allah, yang menjadi sumber asasi perlembagaan agama Islam.

no1

Meningkatnya kesedaran yang mendalam terhadap penghayatan Islam secara menyeluruh di kalangan umat Islam.


tuankusyedputraSelaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, telah membuktikan usaha dan keprihatinan Kerajaan meninggikan Syiar Islam dan mendaulatkan al-Qur’an melalui penganjuran Majlis Tilawah Al-Qur’an.

Majlis tilawah ini diadakan dengan matlamat untuk mewujudkan silaturrahim sesama umat Islam dan hubungan baik antara negara-negara Islam di dunia ini.  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Al-Marhum Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail ketika merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali pertama pada tahun 1380H/1961M telah menegaskan :

"Kerajaan mengadakan pertandingan membaca al-Qur’an bukan sahaja di peringkat antarabangsa hendak menegakkan ajaran al-Qur’an dan merapat serta mengeratkan lagi tali persaudaraan negara-negara Islam di dunia."

Majlis Tilawah al-Qur’an yang diadakan ini juga menjadi acara tahunan bagi wakil-wakil negara luar yang mengambil bahagian untuk berkumpul, memuliakan bulan Ramadhan al-Mubarak serta bersama-sama membaca ayat-ayat suci al-Qur’an di negara ini. 

Majlis Tilawah yang Terawal

Pertandingan Membaca al-Qur’an se-Malaya pertama kali diperkenalkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pada 4 September 1947 yang diadakan di Masjid Jami’ Abu Bakar, Johor Baharu, Johor. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Ahmad bin Yaakob, Ketua Majlis Pertandingan Membaca al-Qur’an se-Malaya pada ketika itu. Dalam majlis tersebut hanya peserta qari sahaja yang mengambil bahagian. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Sultan Johor dalam satu majlis jamuan teh di Istana Besar Johor pada 5 September 1947.

Pada tahun 1951 pula, YTM Tunku Abdul Rahman mengambil inisiatif mengadakan pertandingan membaca al-Qur’an di negeri Kedah. Majlis ini kemudiannya menjadi tradisi tahunan di negeri jelapang padi itu. Apabila YTM Tunku menjadi Perdana Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan, beliau berusaha untuk menganjurkan majlis tilawah ini sebagai acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Langkah awal yang diambil ialah YTM Tunku telah menganjurkan pertandingan membaca al-Qur’an antara negeri Kedah dan Johor pada bulan Ramadhan tahun 1378H bersamaan tahun 1959M.

Pertandingan Peringkat Kebangsaan Kali Pertama

Tarikh & Tempat

  • 20 Ramadhan 1379H
  • 18 Mac 1960
  • Stadium Merdeka, KL

Penyertaan

  • 11 buah negeri
  • 44 orang peserta

Pemenang

  • 1.
  • 2.

Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Kebangsaan kali pertama telah diadakan pada 20 Ramadhan  1379H bersamaan 18 Mac 1960M. Tarikh ini telah memahatkan satu sejarah penting kepada negara kerana selepas tiga tahun mencapai kemerdekaan, di Stadium Merdeka, tempat pengisytiharaan negara Malaysia yang merdeka, Majlis Tilawah Al-Qur’an diadakan.

peta0001Majlis kali pertama ini disertai oleh 44 peserta dari 11 buah negeri Persekutuan Tanah Melayu. 11 peserta membaca setiap malam selama empat malam berturut-turut. Pada malam kelima dikhaskan untuk upacara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Pada malam bersejarah itu berlaku satu peristiwa, iaitu kebetulan keempat-empat buah lampu limpah dari empat penjuru Stadium Merdeka tiba-tiba terpadam seketika semasa salah seorang peserta sedang memperdengarkan bacaan. Namun demikian, kelunakan suara merdu yang mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an terus memukau dan memecah kesepian malam, mempesona beribu-ribu orang yang membanjiri stadium bersejarah itu. Peserta itulah yang telah menjuarai bahagian qariah pada majlis kali pertama itu.

Tugas menyelenggarakan majlis ini diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dikenali pada masa itu sebagai Jawatankuasa Pengelola. Jawatankuasa ini terdiri daripada 15 orang ahli yang dipengerusikan oleh YB Tuan Syed Jaafar Albar, Menteri Muda Penerangan dan Penyiaran pada masa itu dan Encik Ahmad Nordin bin Haji Mohamad Zain, seorang pegawai kanan Jabatan Penerangan sebagai setiausaha yang pertama. Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola yang merancang pelaksanaan majlis tilawah sulung ini telah mengadakan mesyuarat pada 9 Januari 1960 di Kuala Lumpur bersama wakil-wakil Kerajaan Negeri.

Pertandingan Peringkat Antarabangsa Kali Pertama

Tarikh & Tempat

  • 22 Ramadhan 1379H
  • 9 Mac 1961

Penyertaan

  • 7 buah negara
  • 13 orang peserta

Pemenang

  • 1. Tn Hj Ahmad Mat Som - Malaya
  • 2. En ISmail - Malaya
  • 3. Peserta dari Indonesia

Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali Pertama diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis tilawah al-Qur’an peringkat antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Kebangsaan kali Pertama.

peta0002Pertandingan membaca al-Qur’an peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Malaysia (Malaya pada ketika itu) ialah majlis tilawah yang julung-julung kalinya dianjurkan di dunia. Belum ada Negara yang menganjurkan majlis seumpama ini sebelumnya. Dalam majlis kali pertama ini, sebanyak tujuh buah Negara dengan 13 orang pesrta telah mengambil bahagian.

Pada 1 Mac 1966 hasrat dan kenyataan YAB Tun Abdul Razak untuk mengadakan kursus mempelajari dan menghafaz al-Qur’an telah menjadi kenyataan dengan pembukaan Kelas Tahfiz al-Qur’an di Masjid Negara. Kelas ini di bawah bimbingan Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohammad Haji Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Selepas itu kelas tahfiz al-Qur’an ini telah berkembang dan dikenali dengan nama Institut Tahfiz al-Qur’an wa al-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri.

Intitut ini berpindah beberapa kali ke kampus sementara, antaranya di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana; di Jalan Ledang; di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Hulu Langat, Selangor. Kini institut ini berada di kampus tetapnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu dengan nama Darul Qur’an di bawah pentadbiran Jabatan Islam Malaysia (Jakim) yang beroperasi mulai Januari 1997.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullai merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat kali pertama pada 9 Mac 1961.

Johan pertandingan kali pertama ini dimenangi oleh peserta dari Malaya, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mat Som, naib johan disandang oleh Encik Ismail juga peserta Malaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Indonesia. Pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah.

Hakcipta © 2014 JAKIM. Hak Cipta Terpelihara.
Penafian : JAKIM tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.

1329446810 Maps

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Aras 4-9 Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62519, Wilayah Persekutuan Putrajaya,
Malaysia.
Telefon : 03-8886 4000
Fax : 03-8889 2039
Email : alquran@islam.gov.my
Peta : Klik sini

1329446830 Stocks

Jumlah Pelawat

01123935
Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Jumlah
498
921
1419
1115899
41753
18884
1123935

1329447003 Things

Kemaskini Terkini :
29 April 2015

Paparan Terbaik :
Firefox 7+ atau Internet Explorer 9+ atau Safari 4+ atau Chrome dengan resolusi minimum 1280 X 1024. Boleh juga dilayari di telefon pintar atau gajet pintar yang lain (Responsive Design)